Para Pelajar & Pensyarah Pustem SMK Limbanak Penampang

Para Pelajar & Pensyarah Pustem SMK Limbanak Penampang

Thursday, February 9, 2017

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KELAB KEWARTAWANAN KE RTM SABAH

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (RADIO TELEVISYEN MALAYSIA), SABAH

    Pada 8 Febuari 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Limbanak Penampang telah menghantar 24 pelajar Pra-u dari Kelab Kewartawanan dan 3 orang guru penasihat iaitu Cik Latifah Yusof Embun, Puan Malliga Palanisamy dan Encik Nordean untuk melawat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Sabah ataupun Radio Televisyen Malaysia (RTM). Rombongan ini telah bertolak dari sekolah seawal 1.30 petang dengan menaiki bas yang telah disewa khas.
    Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendedahkan ahli Kelab Kewartawanan kepada sejarah awal penubuhan RTM. Selain itu, pelajar juga dapat diberi pendedahan awal tentang kursus yang boleh diceburi apabila menjadi penuntut di mana-mana menara gading kelak. Bukan itu sahaja,  lawatan ini turut bertujuan untuk mendidik pelajar untuk lebih mendengar atau  membaca konten yang sahih dan mempunyai sumber yang kukuh. Pelajar turut diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengetahui isu-isu semasa.
    Rombongan ini telah disambut dengan tangan terbuka oleh Pegawai Hubungan Raya iaitu Encik Rosli Wasli. Beliau merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan lawatan kami berjalan dengan lancar dan sentiasa mengikut jadual. Sepanjang lawatan kami di RTM ini, beliau telah banyak menerangkan informasi yang berguna kepada para pelajar serta para guru penasihat.
    Menurut Encik Rosli, RTM Sabah mempunyai 3 rangkaian saluran radio iaitu SabahFM, SabahVFM dan Suara Sabah. Perbezaan antara SabahFM dengan SabahVFM ialah SabahFM memfokuskan penyiaran dalam Bahasa Melayu sahaja manakala SabahVFM pula bersiar dalam 5 variasi bahasa iaitu Bahasa Dusun, Cina, Bajau Semporna, Inggeris dan juga Murut. Sementara Suara Sabah pula hanya dijalankan secara ‘live streaming’ melalui internet. Selain itu, saluran radio di bawah kendalian RTM ini bukan sahaja bersiaran di Kota Kinabalu, malahan di Sandakan, Tawau, dan Keningau turut ada.  
     Lawatan dimulakan dengan penerangan sejarah penubuhan RTM di Sabah lalu rombongan ini dibawa meninjau masuk pejabat Berita dan Ehwal Malaysia. Di dalam pejabat ini, penjelasan tentang dunia penyiaran di RTM ini telah dijelaskan dengan lebih terperinci oleh Puan Farah Lee Asman. Semasa penerangan dijalankan, kelihatan para wartawan dan juruhebah RTM tekun menyunting hasil dapatan mereka.
    Pelajar difahamkan bahawa penyuntingan yang berdurasi kira-kira 2 atau 3 minit boleh disingkatkan sehingga menjadi beberapa saat sahaja. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa bidang penyiaran akan memampatkan sebanyak informasi yang boleh dalam masa yang singkat sahaja dalam usaha menyampaikan informasi yang singkat, padat dan berguna. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada cara-car mengumpul maklumat. Maklumat yang bakal disiar hendaklah mempunyai sumber dan bukti yang kukuh. Pelajar turut diberi peluang yang sukar diperoleh iaitu untuk melihat bilik penyuntingan utama. Menurut Encik Rosli, peluang ini sangat jarang berlaku semasa lawatan. Rombongan turut difahamkan bahawa segala berita yang disampaikan secara siaran langsung di berita televisyen RTM juga boleh ditonton semula di Youtube pada nama akaun ‘@beritanasionalrtmrasmi’.
    Sebelum beralih ke sesi yang seterusnya, pelajar diberi peluang untuk mengadakan sesi soal jawab bersama Puan Farah Lee. Ahli-ahli Kelab Kewartawanan didedahkan dengan jenis-jenis peluang pekerjaan yang dapat diisi oleh generasi muda dalam dunia penyiaran. Di antaranya adalah juruhebah, jurutera, juruteknikal, wartawan, pemandu, mahupun usahawan. Difahamkan juga hanya seramai 20 orang yang diterima masuk setiap tahun untuk melakukan kerja amali di dalam bidang penyiaran RTM daripada seluruh Malaysia.
    Setelah itu, rombongan ini turut berpeluang untuk meninjau masuk ke dalam salah satu studio yang digunakan untuk melakukan pelbagai jenis penggambaran. Studio ini mempunyai tiga set utama iaitu 2 set temu bual serta set untuk program Ekspresi Kombo RTM. Rombongan beruntung kerana dibenarkan untuk meninjau studio tersebut kerana studio tersebut mempunyai masa yang terhad untuk menerima pelawat.
        Lawatan diteruskan dengan melawat Konti SabahFM. Rombongan disambut dengan meriah oleh 2 orang penyampai radio yang sangat informatif. Sesi soal jawab yang berlangsung di Konti ini telah membawa kesedaran tentang pentingnya mendengar informasi dan konten yang disiarkan oleh radio-radio tempatan.    
    Bagi mengakhiri lawatan ini, Cik Amilia James selaku Presiden Kelab kewartawanan telah menyampaikan cenderamata bagi pihak pelajar kepada Encik Rosli Wasli. Lawatan ini dengan jayanya diakhiri dengan sesi bergambar di bangunan utama RTM.
    Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang berusaha sebaik mungkin bagi menjayakan lawatan ini. Mudah-mudahan matlamat utama lawatan ini berjaya diperoleh oleh pelajar yang menghadiri lawatan ini.
   
Disediakan oleh,

(REAVLE JAMES PANG)
AJK Buletin,
Kelab Kewartawanan,

SMK Limbanak, Penampang, Sabah.














No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.